Sunday, August 11, 2013

Pro dan Kontra Kahwin Usia Muda


Salam sejahtera dan selamat bertemu kembali....
"Kahwin usia muda",mungkin kita pernah mendengar ataupun secara tidak langsung pernah berhadapan dengan situasi seperti ini.Di ruangan ini saya ingin menyuarakan pendapat saya secara peribadi berkenaan perkara ini dan ini hanyalah suatu pendapat dan pandangan yang tidak merujuk kepada sesiapa.Pandangan yang saya utarakan dilaman ini adalah berdasarkan pengamatan dan pengalaman saya secara peribadi yang ingin saya kongsikan bersama sesiapa saja yang sudi meluangkan masa singgah disini.Saya amat berminat dengan topik ini kerana saya juga pernah berhadapan dengan situasi sebegini.
  Mari kita cari 'pro'nya dulu...
1)Masalah sosial -Keruntuhan institusi keluarga secara langsung menyebabkan kebanyakan anak-anak muda(remaja)lebih suka mencari kebahagiaan dan perhatian diluar rumah.Pergaulan dengan kawan-kawan akan membuatkan mereka berasa lebih diperhatikan dan disayangi. Justeru,mereka akan lebih mudah untuk membuat keputusan tanpa mengira akibatnya kelakJadi untuk mengelakkan daripada terus hanyut dalam kehidupan yang tidak menentu,ada diantara mereka yang mengambil keputusan untuk mendirikan rumahtangga.Secara tidak langsung akan dapat mengelakkan mereka daripada terus terjerumus ke lembah maksiat dan pergaulan bebas.
2)Masa depan-Bagi sesetengah masyarakat,berkahwin di usia muda memang digalakkan.Saya berani berkata demikian kerana beberapa teman saya sendiri berkahwin sebaik sahaja mereka menamatkan pengajian disekolah menengahAntara kelebihan yang saya dapati daripada situasi ini adalah mereka tidak lagi perlu memikirkan tentang teman hidup dan yang paling penting ialah,masa depan mereka terjamin.Mereka tidak lagi perlu menetapkan tahap usia untuk  memulakan pencarian teman hidup.Apa yang sangat penting ialah mereka mulai belajar tentang tanggungjawab dan mengetahui arah serta tujuan hidup yang sebenar.
3)Pencarian rezeki-Saya tidak mengatakan saya amat bersetuju dengan situasi'kahwin usia muda' ini tetapi kalau difikirkan,ada juga kebaikannya.Bagi sesetengah orang yang betul-betul komited,mereka akan menjalankan kewajipan mereka untuk bersama mencari rezeki dan berusaha untuk memastikan rumahtangga yang dibina diusia muda ini akan bahagia dan berkekalan malah terjamin dari segi kewangan.Malahan dengan semangat dan tenaga yang ada,tidak mustahil mereka akan berhasil  dalam kehidupan berumahtangga.Jadi berkahwin di usia muda juga akan membawa kebahagian jika dibina diatas dasar kasih sayang tanpa syarat dan mengikut saluran yang betul.
      Namun begitu,setiap yang 'pro'  ada yang pasti ada yang 'kontra' juga.Disini,terdapat banyak 'kontra' yang perlu diberi perhatian dan boleh membawa masalah yang serius.Menurut kajian,pengamatan dan pengalaman saya,kesan negatif daripada tindakan kahwin diusia muda ini tidak kurang juga banyaknya.Antara kes yang banyak berlaku ialah penceraian,keganasan rumahtangga dan ini menyebabkan wujudnya beberapa masalah sampingan yang lain.
1)Penceraian-Masalah penceraian dan keretakan rumahtangga banyak berlaku diantara golongan kahwin usia muda kerana mereka tidak dapat memahami  erti berumahtangga yang sebenar dan mungkin ramai lagi yang belum benar-benar bersedia untuk memikul tanggunjawab sebenar dalam alam rumahtangga.Ketika masih baru berkahwin,semua yang dirasai indah dan menyenangkan belaka namun,perkahwinan bukanlah hanya untuk setahun dua sahaja.Ia adalah komitmen sepanjang hayat.
2)Keganasan-Ketika bercinta,semuanya manis dan indah.Semuanya sanggup dilakukan dan dihadapi.Namun alam rumahtangga ada pasang surutnya juga.Masalah yang dihadapi akan menyebabkan berlakunya tekanan perasaan dan secara tidak langsung akan membuka ruang untuk melakukan tindakan diluar batasan misalnya pergaduhan dan paling menyedihkan bila sampai ketahap penderaan terhadap pasangan ataupun anak-anak yang selama ini menceriakan dan menjadi penambah seri dalam keluarga.
3)Kematangan-Pada pendapat saya berkahwin di usia muda sebenarnya adalah satu pengorbanan yang dilakukan oleh seseorang individu.Mereka secara tidak langsung telah mengorbankan masa depan mereka kerana usia remaja yang harus dinikmati kini digantikan dengan tanggungjawab yang amat besar dan tidak dapat diramalkan pada masa depan.Apa yang pasti,tahap kematangan fikiran golongan ini masih rendah dan agak kabur.Malah pada usia ini,mereka masih sangat memerlukan dorongan,bantuan bahkan bimbingan dari kedua orang tua dan keluarga.Mereka masih lagi bergantung sepenuhnya pada ibubapa mahupun saudara samada dari segi sokongan moral mahupun kewangan.Jadi bagi sesetengah pasangan yang berkahwin tanpa persetujuan atau lebih teruk lagi diabaikan oleh kedua belah keluarga pastinya menerima tamparan hebat sekiranya rumahtangga yang dibina berkadapan dengan masalah,khususnya yang berkaitan dengan kewangan.Kesannya,timbullah penyesalan dan tekanan perasaan pada kedua pasangan.
4)Sumber Kewangan-Oleh kerana mengikut perasaan dan keseronokan semata mata,kebanyakan pasangan muda ini lupa bahawa sumber kewangan yang stabil merupakan nadi utama dalam rumahtangga selain daripada perasaan cinta.Ini kerana dalam zaman yang serba maju dan moden ini,wang adalah nadi kehidupan.Wanglah yang diperlukan dalam setiap aspek kehidupan.Apalagi dengan harga barangan yang sentiasa meningkat,nilai wang pula semakin rendah.Dulu dengan RM50,kita dapat banyak barang tapi kini,nilainya hampir sama dengan nilai RM10 sahaja.Jadi apakah pasangan yang berkahwin di usia muda,belasan tahun ini dapat menghadapinya?
  Oleh yang demikian,saya amat berharap agar perkara ini diambil perhatian dan semoga apa yang saya kongsikan ini dapat kita renungkan.Semua perkara yang berlaku dalam kehidupan ini memang ada 'pro' dan 'kontra'nya.Tetapi semuanya terpulang pada diri kita sendiri untuk menghadapinya.Sekali lagi saya tegaskan ,apa yang saya suarakan dalam artikel ini adalah pendapat saya berdasarkan pengalaman dan tidak bertujuan untuk mengkritik sesiapa.
  Terima kasih yang tidak terhingga kerana sudi singgah dan membuang waktu untuk membaca coretan hati saya.Topik ini menjadi sumber insiprasi saya dalam meneruskan kehidupan yang sangat mencabar ini.Jumpa lagi di lain kesempatan.Sekian....

No comments:

Post a Comment